Benarkah Al-Quran Yang Ada Masih Asli, Tiada Tokok Tambahnya?

al-quran palsu
Benarkah al-Quran yang ada masih asli, tiada tokok tambah?

MENGIKUT Dr. Subhi Salih, al-Quran berasal daripada kalimat qaraa yang bermaksud `bacaan'. Ia adalah kalam Allah berbentuk mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan ditulis di atas mushaf melalui riwayat mutawatir dan membacanya merupakan ibadah.

Kesucian al-Quran dipelihara Allah dan jaminan ini disebutkan dalam surah al-Hijr ayat 9: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memeliharanya. Secara dasarnya kesucian al-Quran terpelihara melalui empat cara:

1. Sahabat-sahabat Nabi Muhammad menulis wahyu secara terus menerus seperti yang diturunkan kepada nabi. Penulis wahyu utama pada zaman nabi adalah Zaid bin Thabit, Ubai bin Kaab, Muaz bin Jabal, Muawiyah bin Sufian dan khalifah yang empat. Uthman bin Affan meriwayatkan, apabila suatu ayat diturunkan kepada nabi, baginda terus memanggil sahabat menulis wahyu itu dan mengarahkan sahabat berkenaan memasukkan ayat itu dalam surah-surah tertentu. Ini menunjukkan susunan setiap ayat dalam surah ditentukan oleh nabi sejak dari awal lagi.

2. Ramai dari kalangan sahabat nabi menghafaz al-Quran secara keseluruhannya. Antara mereka yang paling menonjol adalah Abdullah bin Mas'ud, Salim, Muaz dan Ubai bin Kaab. Mengikut riwayat Bukhari, nabi bersabda: Ambillah al-Quran daripada empat orang iaitu, Abdullah bin Masud, Salim, Muaz dan Ubai bin Kaab.

3. Semua sahabat yang bukan hafiz menghafaz sebahagian daripada al-Quran untuk dibaca di dalam sembahyang di samping dijadikan wirid harian. Mereka melaksanakannya akibat dirangsang oleh hadis-hadis yang menggalakkan pembelajaran al-Quran. Contohnya, sabda nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud: Sebaik-baik kamu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya.

4. Sebahagian sahabat nabi mempunyai catatan al-Quran sebagai rujukan peribadi terutamanya pada peringkat wahyu sedang turun. Salah satu contoh menarik adalah semasa Umar belum memeluk Islam. Beliau pernah pergi ke rumah adik perempuannya selepas mendapat tahu adiknya sudah memeluk agama Islam dan di situ beliau memukul adik perempuan serta iparnya. Mengikut riwayat daripada Ibn Hisyam, Umar kemudiannya meminta untuk melihat lembaran al-Quran daripada adiknya. Selepas menyuruh beliau bersuci, ditunjukkan lembaran simpanannya yang mengandungi surah Taha. Insiden ini menjadi titik tolak pengIslaman Umar al-Khattab. Riwayat ini menunjukkan amalan mencatat al-Quran bagi kegunaan peribadi menjadi lumrah di kalangan para sahabat pada zaman nabi.

Pada zaman khalifah Abu Bakar, catatan-catatan al-Quran yang ditulis pada zaman nabi dihimpunkan kemudian ditulis semula pada lembaran khas oleh Zaid bin Thabit sebelum disimpan oleh Khalifah Abu Bakar. Semasa menulisnya, Zaid bin Thabit menggunakan metodologi yang amat teliti. Setiap lembaran yang diterimanya perlu dipersaksikan dan disahkan oleh dua orang yang menghafaz al-Quran. Selepas kematian Khalifah Abu Bakar, Khalifah Umar al-Khattab menyimpan lembaran al-Quran ini dan selepas kematiannya ia disrahkan kepada isteri Rasulullah, Hafsah. Pa-da zaman Uthman bin Affan, atas nasihat sahabat Huzaifah bin Yaman, lembaran yang berada pada tangan Hafsah diambil untuk disalin semula dan dibukukan secara rasmi.

Individu yang terlibat dalam usaha pembukuan al-Quran ini adalah Zaid bin Thabit, Abdullah bin Zubair, Said bin `As dan Abdul Rahman bin Harith. Lima naskhah al-Quran ditulis dan dihantar ke Mekah, Syria, Basrah, Kufah dan senaskhah disimpan di Madinah.
Naskhah yang berada di Madinah kemudiannya dibawa oleh pihak berwajib Turki ke Istanbul sebelum dipindahkan ke Berlin pada Perang Dunia I. Akhirnya ia dikembalikan ke Istanbul melalui Perjanjian Versailles selepas tamat Perang Dunia I dan berada di sana sehingga hari ini. Satu lagi naskhah yang ditulis pada zaman Khalifah Uthman disimpan di Samarkand pada tahun 1485M. Kemudian, pada tahun 1924 M, ia dibawa ke Tashkent, Uzbekistan dan kekal disimpan di sana sehingga hari ini. Perkara ini disebutkan dalam Proof of The Preservation of the Quran oleh Saabeel Ahmad dan Ulum Al-Quran oleh Ahmad Von Denfer. Semua ini membuktikan kesucian al-Quran terpelihara sehingga hari ini.

Sehubungan dengan ini Sir William Muir dalam Life of Mohamed berkata:
``Berkemungkinan besar tidak ada satu kitab pun di dunia ini yang mampu bertahan seperti al-Quran selama 12 abad (sekarang sudah lebih 14 abad) dalam keadaan keasliannya masih terpelihara.'' -

Dengan kerjasama PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.


0 comment... add one now