Ego Indonesia Mudah Diratah Skuad Harimau Muda

sekuad harimau muda

EGO Sang Garuda berterusan ‘dirobek’ Harimau Muda. Malam tadi, dendam skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Indonesia terhadap Harimau Muda masih belum terlunas apabila tewas tipis 0-1 dalam aksi Piala SCTV di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Lebih menyedihkan, skuad kendalian Aji Santoso itu juga dicemuh lebih 5,000 penyokong sendiri – jumlah yang jauh lebih sedikit berbanding 100,000 penyokong Garuda yang memenuhi stadium yang sama ketika kempunan merampas pingat emas temasya Sukan SEA daripada skuad muda negara tahun lalu.
Pada perlawanan malam tadi, tonggak pertahanan negara, K. Reuben muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan menerusi rembatan deras daripada luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol Indonesia, Aji Saka dua minit sebelum babak pertama berakhir.

Terdahulu, kesilapan mudah penjaga gol Harimau Muda, Ahmad Izham Tarmizi Roslan yang beberapa kali dilihat gagal mengawal kemas bola pada pertengahan babak pertama gagal dimanfaatkan rangkaian penyerang tuan rumah yang diterajui kapten, Fasta Biqul dan Hendra Bajaw.

Bersambung babak kedua, Harimau Muda sepatutnya selesa mendahului 3-0 namun dua gol ledakan Ahmad Hazwan Bakri dan Ferris Danial pada minit ke-48 dan 56 dibatalkan pengadil, Faulur Rosi kerana ofsaid.

Peluang terbaik Indonesia menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-58 namun percubaan Hendra yang hanya berdepan Ahmad Izham dilihat jauh tersasar.
Ia merupakan aksi tunggal skuad kendalian Ong Kim Swee dalam kejohanan jemputan itu dan satu lagi aksi membabitkan pertembungan skuad senior Indonesia dan Korea Utara bakal berlangsung di stadium yang sama malam ini.

Selepas ini, skuad Harimau Muda akan kembali menyambung perjuangan dalam saingan Liga Singapura (Liga S) dan bakal berdepan pasukan di tangga kelima liga, Home United di Stadium Yishun, Singapura Sabtu ini.

Mereka kini di tangga keempat Liga S dengan 32 mata selepas 17 perlawanan, tujuh mata di belakang pendahulu liga, Tampines Rovers yang begitupun beraksi lebih satu perlawanan.

kosmo

0 comment... add one now