Kita telah masuk minggu ketiga tahun 2012. Kita telah membaca bahawa tahun 2012 ini adalah tahun berakhirnya Kalender Maya dari Amerika Latin. Nujum dan bomoh dan mereka yang percaya dengan ilmu hitam sedang sibuk membincangkan tarikh ini. Banyak buku telah ditulis tentang tahun 2012 ini. Hollywood telah membuat sebuah filem dengan tajuk tahun ini. Mengikut Kalender Maya yang berumur lebih dari 5,000 tahun pada 21 haribulan Disember 2012 dunia kita ini akan berakhir. Qiamat akan sampai.
Pada hemat saya tidak mungkin Qiamat akan sampai pada tahun 2012 ini. Terlalu awal untuk Qiamat berlaku. Lagi pun durian yang saya tanam tahun lalu masih kecil lagi. Tak mungkin Qiamat berlaku sebelum saya merasa buah durian yang saya tanam. Tetapi, apa yang jelas Kalender Maya ini wujud dan kita telah memasuki tahun yang tidak menentu.
Tahun 2012 dibuka dengan keputusan kes tuduhan liwat Saiful Bukhari terhadap Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah. Ini satu keputusan mahkamah yang memeranjatkan ramai orang. Ramai yang tidak percaya akan keputusan tersebut.
Ramai penyokong dan yang bersimpati dengan Saiful merasa kecewa. Mereka kecewa kerana Si Saiful ini telah bangun berkorban untuk bangsa dan agama. Bayangkan Si Saiful ini secara terbuka telah mengaku bahawa dia telah menahan perut tidak terberak selama dua hari kerana menyimpan air mani Anwar. Bukan calang-calang anak muda yang berani memasukan plastik ke dalam jubur sendiri. Ini sikap pendekar pejuang bangsa. Ini sikap anak muda perkasa negara.
Satu minggu sesudah keputusan dikeluarkan oleh mahkamah — suasana semakin tidak menentu. Kes liwat ini masih terbuka luas. Kini Saiful dan keluarganya telah mengajukan permintaan agar pihak pendakwa membuat rayuan. Malah sokongan untuk membuat rayuan telah didengar keluar dari mulut Timbalan Perdana Menteri dan juga dari bekas Perdana Menteri.
Seperti biasa Perdana Menteri telah meniru perangai Abdullah Badawi dengan 'elegant silence' - tidak membuka mulut. Tidak didengar sepatah apa pun terkeluar dari mulut Najib Razak. Orang ramai juga tidak diberitahu apakah pemintaan biasiswa Si Saiful untuk belajar menjadi pemandu kapal terbang diluluskan oleh Najib atau tidak. Najib buat ' dek' walau pun — dua tahun dahulu — sebelum membuat lapoarn polis Si Saiful ini telah berbincang dengan Najib. Semua ini menjadikan suasana tidak menentu.
Jika tidak ada rayuan maka ini adalah kemenangan yang mengembirakan untuk Anwar Ibrahim dan keluarganya. Para penyokong Pakatan Rakya juga akan turut sama bergembira. Malah, jika kes ini tidak dirayu maka ianya akan memperkuatkan lagi anggapan bahawa Si Saiful hanyalah 'anak bidak ' dalam satu konspirasi politik
Tetapi jika Peguam Negara membuat rayuan maka keadaan tidak menentu sekali lagi akan muncul. Kemana arah mahkamah rayuan akan sampai — tidak ada sesiapa yang tahu.
Pada pembukaan tahun 2012 selain kes liwat Saiful ada satu lagi pekara yang menjadi ' hangat dan tegang'. Pekara yang menjadi labon di warong, di surau, di pejabat dan di kepala wartawan ialah bila agaknya Pilihanraya Umum ke 13 akan diadakan. Untuk warga Malaysia tarikh pilihanraya ini juga sedang menimbulkan suasana tegang yang tidak menentu.
Desas desus piliharaya ini telah kedengaran semenjak tahun lalu lagi. Mulanya dinujumkan PRU13 akan berlangsung pada bulan November. Mengikut para nujum politik tarikh ini muncul kerana Najib Razak menganggap angka 11 itu membawa tuah kepadanya. Apakah angka 11 ini simbol dua kaki terkangkang atau dua batang terpacak tidak pula jelas. Apa yang umum tahu hanyalah Najib memakai angka 11 untuk keretanya.
Keadaan tidak menentu tentang pilihanraya ini bertambah tegang apabila ada berita keluar dari sumber yang juga tidak resmi. Berita ini berpunca dari Si Polan bin Si Polan yang Bapak Saudaranya bekerja sebagai polis. Mengikut Si Polan ini Bapa Saudaranya yang berpangkat Koperal telah memberitahu dia bahawa semua percutian untuk pegawai polis telah dibekukan.
Berita cuti PDRM dibekukan ini menjadi tegang lagi apabila ada sumber yang tidak resmi ini menambah 'aji-no moto' dengan mengatakan bahawa sekolah-sekolah juga telah dikenal pasti sebagai tempat membuang undi. Kalau cuti PDRM yang telah dibekukan ini tidak meyakinkan maka akan ditambah lagi dengan pembekuan cuti Jabatan Bomba. Apa hubungan bomba dengan pilihanraya ini tidak terangkan. Dalam susana yang tidak menentu ini fikrah yang rasional memang tidak boleh digunakan. Semuanya tidak menentu.
Keadaan tidak menentu ini berterusan dengan munculnya kesah bagaimana seorang pemandu telah mendengar cerita dari kawannya seorang pemandu Mak Datin. Mengikut kesahnya: suami Si Mak Datin ini kenal baik dengan seorang Menteri Kabinet. Si Pemandu terdengar perbualan talipon Mak Datin yang mengatakan bahawa suaminya bakal menjadi calon pada pilihanraya yang akan dijalankan tidak lama lagi. Malah untuk menguatkan cerita, Si Mak Datin kini telah mendaftar disebuah gym untuk mengurangkan berat badan. Mengikut surah Si Pemandu, Pak Datin mahu melihat Mak Datin langsing dan cun apabila naik ke pentas untuk berkempen.
Berita-berita sedemikian menjadikan suasana semakin tidak menentu. Kemudian kita terbaca kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya yang telah siap sedia untuk mengendalikan PRU13. Kenyataan SPR ini disambut pula oleh pihak polis yang mengumumkan bahawa PDRM juga telah siapa sedia.
Kenyatan dari SPR dan PDRM ini akan pula digoreng dan diolah oleh pemerhati dan nujum politik yang bertauliah dan yang tidak bertauliah. Nujum-nujum politik ini akan mengeluarkan komen dan pandangan mereka tentang suasana politik dan ekonomi Malaysia sambil memberi ramalan tarikh pilihanraya. Ada nujum politik yang bertaulih kerana mengajar di universiti. Tetapi paling ramai yang tidak bertauliah tetapi masih ingin menjadi nujum. Mereka ini memberi kuliah di laman web dan dunia siber tentang tarikh PRU13.
Ketegangan dan suasana tidak menentu tentang tarikh piliharaya ini muncul kerana ada sejarahnya. Di zaman sesudah merdeka — di zaman Tunku Abdul Rahman — tempoh kempen pilihanraya lebih dari satu bulan. Tetapi, semakin lama kita merdeka masa untuk berkempen di pilihanyara semakin dipendekkan Pilihanraya 2004 dahulu tempoh masa berkempen hanya 8 hari sahaja. Inilah yang menyebabkan suasana tegang dan tidak menentu.
Saya telah membaca bagaimana duit seratus ringgit — bantuan beli buku - telah diberi kepada murid sekolah tahun lalu. Saya telah membaca bagaimana keluarga yang berpendapatan dibawah 3,000 ringgit boleh mendapat 500 ringgit. Duit bantuan ini sedang diuruskan. Saya juga ada membaca tentang kenaikan gaji pegawai kerajaan. Setelah saya membaca semua berita ini makan saya juga ingin menjadi nujum yang tidak bertauliah.
Memang betul ramalan Kalender Maya tentang tahun 2012 ini. Kita sedang melihat ketidak tentuan dan kacau bilau yang amat sangat sedang berlaku dihadapan mata kita. Ada lembu membeli kondo, ada Menteri guna duit zakat untuk bayar peguam dan Menteri dapat duit poket dan ada Menteri yang pergi bercuti sesudah musim cutim tamat — semua ini menjadi kelam bin kabut.
Dalam kelam kabut dan tidak menentu ini biar saya membuat ramalan. Pada ramalan saya Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden United Malay National Organisation (Umno) dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan tahu bila masa yang tepat untuk mengadakan PRU13. Tarikh ini tidak ada sangkut paut dengan Kalender Maya, tidak ada pertalian dengan bomoh dari Mumbai.
Suasana politik dunia tidak akan mempengaruhi Najib. Kucar kacir ekonomi dunia, kemelesetan ekonomi Amerika, beban hutang di negara-negara Eropah — semua ini tidak akan mempengaruhi Najib. Kenaikkan harga bahan bakar petrol juga tidak akan diambil kira oleh Najib.
Sebagai nujum politik yang tidak bertauliah saya yakin Najib Razak akan mengadakan PRU13 satelah Rosmah Mansor menetapkan tarikhnya. Mengikut komen bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew tentang Rosmah Mansor ' they work as a team'. Tarikh yang akan ditetapkan oleh Rosmah ini adalah tarikh paling selamat untuk Najib.
Kalau mengikut ramalan Kalender Maya kocakan dan ledakan akan berlaku dalam dunia pada tahun 2012 ini. Jika ramalan ini diterjemahkan untuk Malaysia ia membawa makna bahawa Barisan Nasional akan kalah teruk di PRU13 ini nanti. Kalah teruk ini bukan Qiamat untuk Najib. Najib akan terus selamat dari pukulan beg tangan Rosmah kerana tarikh ini dipilih oleh Rosmah Mansor sendiri. Ini hanya ramalan saya yang tidak mengamalkan ilmu hitam.
Pandangan peribadi dari kolumnis yahoo.