PONTIAN – Hajat seorang ibu mahu melihat anaknya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan bermula pada minggu hadapan, tidak kesampaian, apabila anaknya menghembuskan nafas terakhir, awal pagi kelmarin.
Muhammad Afiff Faris Ahmad Seri, 15, meninggal di pangkuan ibunya Russiah Ibrahim, 44, kira-kira jam 6.05 pagi selepas mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh.
Menurut Russiah, anaknya mengadu mengalami pening kepala sebelum rebah secara tiba-tiba di pangkuannya.
“Saya terus memangku Afiff, sambil mengurut bahagian dahinya dengan minyak, kira-kira 15 minit kemudian saya tengok bibir, kuku tangan dan kakinya terus menjadi biru.
“Saya terus mengusap bahagian dadanya dan kelihatan Afiff seperti tidur berdengkur dan selepas itu dia terus diam,” katanya yang menerima kunjungan dari Pegawai Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng, di rumahnya di Taman Nilam, di sini, pagi semalam.
Russiah bersama seorang anak lelakinya yang berusia 13 tahun ketika itu terus meminta pertolongan dari jiran dan menelefon ambulans memandangkan ketika itu suaminya, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, bekerja shift malam.
Jelasnya, sebaik saja ambulans tiba dan pegawai perubatan membuat pemeriksaan mereka telah mengesahkan Hafiff sudah meninggal dunia dan memintanya menghubungi pihak polis untuk membuat laporan.
Russiah berkata, Afiff anak ketiga daripada lima beradik tidak mempunyai sebarang penyakit dan merupakan seorang yang aktif dalam sukan bola baling.
“Baru setahun Afiff berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Penggawa Barat dari Sekolah Menengah Tinggi Melaka, mengikut ayahnya yang bekerja di Tanjung Bin, Pontian.
“Pada peperiksaan percubaan yang lepas Afiff mendapat keputusan 6A dan 2B,” katanya.
Bapa Afiff, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, berkata, dia diberitahu oleh isterinya mengenai kejadian itu melalui panggilan telefon kira-kira jam 6.15 pagi.
“Apabila tiba di rumah, anak saya sudah tiada lagi dan saya reda di atas pemergian anak kesayangan itu kerana ALLAH lebih menyayanginya,” katanya.
Difahamkan beliau baru dua tahun berpindah ke Pontian kerana sebelum ini bekerja di Melaka dan isteri serta anaknya pula baru setahun mengikutnya berpindah.
Menurutnya, anaknya dikebumikan semalam kira-kira jam 10 malam di Tanah Perkuburan Islam Taman Nilam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.
Notakaki : Husnul Khotimah hendaknya....Alhamdulillah