16 Masjid Utama Guna E-Nikah

TENGKU Muhammad Faiz Petra (dua dari kanan) melawat Makmal Siber Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian sambil diperhatikan Che Mohd Rahim (kanan) selepas majlis perasmian di Kota Bharu.
Urusan pendaftaran perkahwinan dipermudah, pantas menerusi talian

KOTA BHARU: Urusan pendaftaran perkahwinan di negeri ini kini dipermudahkan apabila 16 masjid utama di semua jajahan sudah dibekalkan dengan perkhidmatan daftar nikah secara dalam talian menggunakan E-Nikah.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri (JHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, berkata dengan kemudahan teknologi terkini, semua maklumat daftar nikah boleh dilakukan dengan pantas dan mudah.
Ini adalah projek perintis dan JHEAIK merancang mengembangkannya kesemua masjid besar lain di negeri ini bagi memastikan urusan pendaftaran perkahwinan berjalan lancar. - Che Mohd Rahim Jusoh, Pengarah JHEAIK
Katanya, melalui sistem itu, JHEAIK juga berharap kaedah ini mampu mengatasi kegiatan pernikahan palsu yang dilakukan oleh sindiket kerana hanya pihak bertauliah saja dapat menggunakan sistem E-Nikah.

“JHEAIK berharap melalui pe-ngenalan sistem E-Nikah di semua masjid utama di negeri ini, segala urusan pendaftaran nikah dapat dilakukan dengan segera sekali gus maklumat dapat dicapai dengan segera di jabatan ini.

“Sesuai dengan perkembangan teknologi terkini, JHEAIK akan memanfaatkan penggunaan komputer riba untuk mengembangkan pengenalan E-Nikah sekali gus mengatasi sistem manual, menggunakan kaedah mengisi borang kertas yang sudah tentu membabitkan kos tinggi.

“Ini adalah projek perintis dan JHEAIK merancang mengembangkannya kesemua masjid besar lain di negeri ini bagi memastikan urusan pendaftaran perkahwinan berjalan lancar,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita pada majlis pengurniaan komputer riba bersama kata laluan E-Nikah yang disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di sini, semalam.

Selain Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, masjid lain yang menerima kemudahan itu ialah Masjid Muhammadi, Masjid Kampung Sireh dan Masjid Telipot, masing-masing di Kota Bharu; Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, Kuala Krai dan Masjid Mahmudi, Bachok.

Pada majlis sama, Tengku Muhammad Faiz Petra juga turut mencemar duli merasmikan Makmal Siber Masjid Al-Sultan Ismail Petra, yang bermatlamat memberikan kemudahan kepada belia di sekitar masjid menggunakan kemudahan komputer disediakan di makmal berkenaan.

Che Mohd Rahim berkata, sebanyak 20 unit komputer disediakan di makmal berkenaan dan pengguna terutama pelajar dan belia boleh menggunakan kemudahan itu yang disediakan secara percuma. 
Nota kaki : Kelate ja ka,,negeri lain bila plak.....:D

0 comment... add one now