Modal Untuk Usahawan Kecil

Mana mungkin memulakan perniagaan tanpa modal bukan?Ramai dikalangan kita yang hendak memulakan perniagaan dan bergelar usahawan kecil tetapi sering kali apa yang menjadi penghalang adalah kekurangan modal. Di mana ada keadaan bila modal sememangnya menghentikan usaha kita menjalankan sesuatu perniagaan, tetapi adakalanya juga 'modal' hanya sekadar alasan untuk kita melengah-lengahkan masa memulakan perniagaan.

usahawan-kecil

Modal Berniaga dan Tip-Tip Usahawan

Antara perkongsian kisah menarik usahawan berjaya bagaimana mengumpulkan modal untuk menjadi usahawan kecil yang berjaya

Ini bingkisan kisahnya
Teringat ketika saya baru hendak mulakan perniagaan lebih kurang 15 tahun lalu, sememangnya saya tidak punyai modal. Ketika itu, saya sedang belajar di luar negara dibawah tajaan kerajaan. Oleh itu, untuk mencari pendapatan tambahan, semestinya perlu bekerja. Selama 2 tahun saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah supermarket kira-kira 2 kilometer dari Universiti. Setiap pagi selepas subuh lagi saya akan berjalan 2 kilometer pergi dan balik dalam kesejukan pagi untuk bekerja sebagai tukang cuci sebelum kuliah bermula.

Walaupun mendapat gaji minima sebagai pencuci, tetapi, Alhamdulillah dapat juga mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk membantu matlamat saya memulakan perniagaan!

Minggu lepas saya terdengar keluhan rakan  tentang tidak mempunyai modal dalam memulakan perniagaan, saya teringat kisah saya yang bertungkus lumus untuk mendapatkan modal. Adakah sememangnya dia tidak mempunyai modal, ataupun tidak mahu berusaha lebih untuk mendapatkan modal perniagaan?

Dalam perniagaan saya sering kongsikan konsep yang dikenali sebagai 'boot strapping'.  Apa yang dimaksudkan oleh bootstrap adalah, anda jangan mengambil pinjaman modal dari mana-mana untuk memulakan perniagaan (tidak kira badan kewangan atau keluarga dan rakan-rakan).

Mulakan perniagaan anda dengan wang simpanan anda sendiri- mulakan perniagaan kecil-kecilan. Keuntungan yang anda terima dari perniagaan kecil anda, anda pusingkan kembali untuk memajukan dan mengembangkan perniagaan anda.

Ramai jutawan dan usahawan lahir dari pendekatan bootstrap apabila memulakan perniagaan (termasuk saya sendiri). Ini adalah kerana, dengan menggunakan konsep bootstrap, anda akan lebih berhati-hati dengan wang yang dilaburkan. Anda juga akan lebih mempelajari dari usaha perniagaan anda. Ia juga akan memaksa anda menggunakan inovasi dan kreativiti anda dalam menguruskan perniagaan anda- mulakan kecil dan perlahan-lahan mengembangkan perniagaan anda dengan ilmu dan pengalaman yang dikumpulkan melalui bootstrap.

Sekiranya anda ingin memulakan perniagaan dengan pinjaman modal RM30,000 - RM40,000, fikir sekali lagi. Statistik mengatakan  bahawa lebih dari 90% perniagaan baru gagal dalam tahun pertama sahaja! Saranan saya, mulakan perniagaan kecil dahulu dan kembangkannya perlahan-lahan; Bootstrap!

Irfan Khairi





1 comment... add one now